Kedaulatan Raja-raja Melayu
Tanah Melayu ini asalnya milik Raja-raja Melayu yang berdaulat dan memiliki kekuasaan dan kedaulatan mentadbir tanah dan pentadbiran negeri masing-masing. British memohon perkenan baginda Sultan untuk mentadbir negeri dan Negara ini. Wakil Raja-raja Melayu turut dilibatkan dalam rundingan untuk kemerdekaan dan dengan perkenan Majlis Raja-raja, barulah Perlembagaan yang di rangka oleh British itu boleh berkuatkuasa. Ini membuktikan bahawa dengan persetujuan Majlis Raja-raja menyerahkan kuasa mereka terhadap sistem pentadbiran dan urusan tanah kepada Kerajaan Rakyat berdasarkan konsep Raja Berpelembagaan adalah satu pengorbanan Raja-raja Melayu yang wajib di hargai dan dibalas oleh rakyat dengan perasaan hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi beraja itu.
Bukti bahawa Tanah Melayu ini asalnya milik Raja-raja Melayu adalah terkandung dalam dokumen 7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang di sampaikan oleh Majlis Raja-Raja ketika British memohon Perkenan Majlis Raja-raja untuk menandatangani persetujuan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 hb Ogos 1957. 7 Wasiat Raja-raja Melayu adalah seperti berikut :-
1. Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung sebagai PERSEKUTUAN TANAH MELAYU;
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
5. Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.
Menurut Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu seperti berikut:-
Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendakla hatas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.
Perkara 39 Perlembagaan pula memberikan kuasa eksekutif persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut:-
Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.
Perlembagaan ini juga menjamin hak Raja-raja Melayu mengikut Perlembagaan negerinya dan jaminan ini di nyatakan di dalam Perkara 71(1)Perlembagaan:-
(1) Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naiktakhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.
Menurut perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, kedudukan, kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu di nyatakan seperti berikut :-
(1) Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasadan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.
Kesemua peruntukan Perlembagaan di atas telah meletakkan kedudukan Raja-raja Melayu di kedudukan tertinggi dalam Persekutuan dan negeri-negeri dengan memberikan kedaulatan dan kesucian kepada institusi Raja-raja Melayu berkenaan. Perlembagaan Persekutuan tidak mendefinisikan maksud kedaulatan Raja-raja Melayu.
Kedudukan Agama Islam
Negara kita telah di jajah selama 446 tahun dan walaupun dengan tempoh penjajahan selama itu, Islam masih terpelihara di Malaysia. Hal ini kerana walaupun urusan pentadbiran dan ekonomi di kawal sepenuhnya oleh penjajah, kuasa menjaga Islam itu masih kekal di tangan Raja-raja Melayu sebagai Ketua agama Islam tanpa campur tangan penjajah.
Menurut Perkara 3(1) Perlembagaan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Ketertinggian kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini diperkukuhkan lagi melalui Perkara 3(2), (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan apabila meletakkan Raja-raja Melayu sebagai Ketua agama Islam di negerinya manakala bagi negeri-negeri yang tidak beraja, perlembagaan negeri meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam negeri-negeri berkenaan.
Saya percaya bahawa Islam ini adalah satu agama yang menjadi kepercayaan dan amalan majoriti rakyat Malaysia dan sebagai agama yang di anuti oleh individu, tiada isu samada Negara ini Negara Islam atau Sekular untuk individu tersebut melaksanakan dengan bebas dan tanpa halangan atau sekatan Negara untuk melaksanakan kewajipan Rukun Islam individu tersebut iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji ke Mekah.
Dalam erti kata lain, perdebatan berkaitan samada Malaysia ini adalah sebuah Negara Islam atau Negara sekular adalah satu perdebatan yang membuang masa serta jawapannya tidak memberi kesan terhadap amalan ibadat seorang Muslim. Sebagaimana seorang muslim di China, walaupun China bukanlah sebuah Negara Islam, namun umat Islam di China bebas beribadat tanpa sebarang sekatan daripada Pemerintah.
Rasional Perkara 3
- Islam dipilih sebagai agama rasmi kerana telah bertapak lebih 600 tahun lampau
- Banyak mempengaruhi cara hidup dan pemikiran orang Melayu sehingga sekarang berbanding dengan agama lain.
- Semasa penjajahan British, kedudukan agama Islam tidak diganggu dan diserahkan urusannya kepada Raja-Raja Melayu.
- Perlembagaan Malayan Union dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 turut mengecualikan perkara ini
- Islam sesuai dengan takrif “Melayu” seperti yang terdapat dalam Perkara 160.
Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan
Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.
Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.
Bahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu negara Malaysia. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Sekali gus, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.
Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan.
Rasional Perkara 152
- Bahasa kebangsaan penting sebagai wadah komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.
- Hasil pemuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan.
- Namun, penggunaan bahasa ibunda kaum lain tidak terjejas.
- Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah kerana bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara sejak berabad-abad lamanya.
- Zaman penjajah telah dijadikan bahasa rasmi. Pegawai Eropah perlu belajar dan lulus bahasa Melayu
No comments:
Post a Comment