Thursday, 17 November 2016

Rasional institusi beraja, agama dan bahasa - Week 10

Kedaulatan Raja-raja Melayu

Tanah Melayu ini asalnya milik Raja-raja Melayu yang berdaulat dan memiliki kekuasaan dan kedaulatan mentadbir tanah dan pentadbiran negeri masing-masing. British memohon perkenan baginda Sultan untuk mentadbir negeri dan Negara ini. Wakil Raja-raja Melayu turut dilibatkan dalam rundingan untuk kemerdekaan dan dengan perkenan Majlis Raja-raja, barulah Perlembagaan yang di rangka oleh British itu boleh berkuatkuasa. Ini membuktikan bahawa dengan persetujuan Majlis Raja-raja menyerahkan kuasa mereka terhadap sistem pentadbiran dan urusan tanah kepada Kerajaan Rakyat berdasarkan konsep Raja Berpelembagaan adalah satu pengorbanan Raja-raja Melayu yang wajib di hargai dan dibalas oleh rakyat dengan perasaan hormat dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap institusi beraja itu.

Bukti bahawa Tanah Melayu ini asalnya milik Raja-raja Melayu adalah terkandung dalam dokumen 7 Wasiat Raja-Raja Melayu yang di sampaikan oleh Majlis Raja-Raja ketika British memohon Perkenan Majlis Raja-raja untuk menandatangani persetujuan pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 hb Ogos 1957. 7 Wasiat Raja-raja Melayu adalah seperti berikut :-

1.   Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung sebagai PERSEKUTUAN TANAH MELAYU;

2.   Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;

3.   Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;

4.   Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;

5.   Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;

6.   Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;

7.   Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.


Menurut Perkara 3(2) Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedaulatan Raja-raja Melayu seperti berikut:-

Di dalam tiap-tiap Negeri selain Negeri-Negeri yang tidak mempunyai Raja, kedudukan Raja sebagai Ketua agama Islam di Negerinya mengikut cara dan setakat yang diakui dan ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri itu, dan, tertakluk kepada Perlembagaan itu, segala hak, keistimewaan, prerogatif dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua agama Islam, tidaklah tersentuh dan tercacat; tetapi dalam apa-apa perbuatan, amalan atau upacara yang berkenaan dengannya Majlis Raja-Raja telah bersetuju bahawa perbuatan, amalan atau upacara itu patut diperluas ke seluruh Persekutuan, setiap Raja lain hendakla hatas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan Agong mewakilinya.

Perkara 39 Perlembagaan pula memberikan kuasa eksekutif persekutuan kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut:-

Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong dan, tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang persekutuan dan peruntukan Jadual Kedua, bolehlah dijalankan olehnya atau oleh Jemaah Menteri atau oleh mana-mana Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, tetapi Parlimen boleh, melalui undang-undang, memberikan fungsi eksekutif kepada orang lain.

Perlembagaan ini juga menjamin hak Raja-raja Melayu mengikut Perlembagaan negerinya dan jaminan ini di nyatakan di dalam Perkara 71(1)Perlembagaan:-

(1)  Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naiktakhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana-mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu.

Menurut perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan, kedudukan, kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu di nyatakan seperti berikut :-

(1)  Tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan ini, kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja dan prerogatif, kuasadan bidang kuasa Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan di bawah wilayah-wilayah mereka masing-masing sebagaimana yang telah ada dan dinikmati hingga kini adalah tetap dan tidak terjejas.


Kesemua peruntukan Perlembagaan di atas telah meletakkan kedudukan Raja-raja Melayu di kedudukan tertinggi dalam Persekutuan dan negeri-negeri dengan memberikan kedaulatan dan kesucian kepada institusi Raja-raja Melayu berkenaan. Perlembagaan Persekutuan tidak mendefinisikan maksud kedaulatan Raja-raja Melayu. 


Kedudukan Agama Islam

Negara kita telah di jajah selama 446 tahun dan walaupun dengan tempoh penjajahan selama itu, Islam masih terpelihara di Malaysia. Hal ini kerana walaupun urusan pentadbiran dan ekonomi di kawal sepenuhnya oleh penjajah, kuasa menjaga Islam itu masih kekal di tangan Raja-raja Melayu sebagai Ketua agama Islam tanpa campur tangan penjajah.

Menurut Perkara 3(1) Perlembagaan, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Ketertinggian kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan ini diperkukuhkan lagi melalui Perkara 3(2), (3) dan (5)  Perlembagaan Persekutuan apabila meletakkan Raja-raja Melayu sebagai Ketua agama Islam di negerinya manakala bagi negeri-negeri yang tidak beraja, perlembagaan negeri meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua agama Islam negeri-negeri berkenaan.

Saya  percaya bahawa Islam ini adalah satu agama yang menjadi kepercayaan dan amalan majoriti rakyat Malaysia dan sebagai agama yang di anuti oleh individu, tiada isu samada Negara ini Negara Islam atau Sekular untuk individu tersebut melaksanakan dengan bebas dan tanpa halangan atau sekatan Negara untuk melaksanakan kewajipan Rukun Islam individu tersebut  iaitu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji ke Mekah. 

Dalam erti kata lain, perdebatan berkaitan samada Malaysia ini adalah sebuah Negara Islam atau Negara sekular adalah satu perdebatan yang membuang masa serta jawapannya tidak memberi kesan terhadap amalan ibadat seorang Muslim. Sebagaimana seorang muslim di China, walaupun China bukanlah sebuah Negara Islam, namun umat Islam di China bebas beribadat tanpa sebarang sekatan daripada Pemerintah.

Rasional Perkara 3
  • Islam dipilih sebagai agama rasmi kerana telah bertapak lebih 600 tahun lampau
  • Banyak mempengaruhi cara hidup dan pemikiran orang Melayu sehingga sekarang berbanding dengan agama lain.
  • Semasa penjajahan British, kedudukan agama Islam tidak diganggu dan diserahkan urusannya kepada Raja-Raja Melayu.
  • Perlembagaan Malayan Union dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 turut mengecualikan perkara ini
  • Islam sesuai dengan takrif “Melayu” seperti yang terdapat dalam Perkara 160.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan


Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

Kewujudan Perkara 152 tidak boleh dipadam kerana Perkara 159(5) menetapkan bahawa perkenan Majlis Raja-Raja diperlukan sekiranya ia hendak dipinda.

Bahasa Melayu adalah lambang bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pemersatu negara Malaysia. Hasrat ini terungkap dalam dasar bahasa dengan merujuk pada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Melalui perkara ini, Bahasa Melayu telah dipilih sebagai lambang jati diri warganegara Malaysia. Hal ini sangat diperlukan kerana setiap negara mempunyai bahasanya sendiri. Sekali gus, bahasa Melayu berperanan sebagai perakuan kejatidirian bangsa Malaysia demi memenuhi maksud kemajuan mengikut acuan sendiri, seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020. 

Bahasa Melayu juga berperanan sebagai bahasa perpaduan. Perpaduan adalah tunggak penting dalam masyarakat yang berbilang bangsa. Tanpa perpaduan negara akan kucar kacir dan musnahlah sebuah negara berdaulat. Di Malaysia, terdapat tiga kaum utama iaitu kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu merupakan penduduk asal Malaysia dan mempunyai penduduk yang melebihi lima puluh peratus daripada keseluruhan warganegara di sini. Oleh sebab itulah bahasa Melayu telah dipilih berdasarkan kaum majoriti penduduk. Bagi merealisasikan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan agen perpaduan negara, Penyata Razak dijadikan sebagai asas Ordinan Pelajaran 1957. Menurut penyata itu, bahasa dan pendidikan dapat digunakan sebagai wadah atau alat untuk meningkatkan persefahaman perpaduan kebangsaan antara penduduk yang berbilang kaum. Selaras dengan itu, mewujudkan satu bangsa yang bersatu padu daripada pelbagai keturunan, agama, kebudayaan dan wilayah dengan satu bahasa kebangsaan amatlah diperlukan. Oleh itu jelaslah bahawa bahasa kebangsaan sebagai bahasa sepunya ini merupakan satu unsur utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia. Penggunaan dan penguasaan bahasa Malaysia secara meluas akan berperanan sebagai wahana pembentukan identiti kebangsaan. 

Rasional Perkara 152
  • Bahasa kebangsaan penting sebagai wadah komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.
  • Hasil pemuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan.
  • Namun, penggunaan bahasa ibunda kaum lain tidak terjejas.
  • Rasional pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah kerana bahasa Melayu menjadi lingua franca di Nusantara sejak berabad-abad lamanya.
  • Zaman penjajah telah dijadikan bahasa rasmi. Pegawai Eropah perlu belajar dan lulus bahasa Melayu

Wednesday, 9 November 2016

Bagaimanakah kerajaan merealisasikan pengagihan kekayaan secara adil kepada rakyat? - Week 9

Secara ringkas, kemiskinan terbahagi kepada dua, iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Kemiskinan mutlak ditakrifkan sebagai satu keadaan di mana pendapatan kasar bulanan tidak mencukupi untuk membeli keperluan minimum sesebuah isi rumah yang diukur berdasarkan tahap perbelanjaan minimum atau pendapatan garis kemiskinan (PGK). Kemiskinan relatif bermaksud ketidaksamaan pendapatan antara kumpulan. Ianya diukur dengan menggunakan nisbah perbezaan pendapatan kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar dan luar bandar.

Cabaran yang kelapan; "Menjamin Sebuah Masyarakat Yang Adil dan Saksama Ekonominya" dalam menggapai Wawasan 2020 memberikan tumpuan kepada bidang ekonomi. Ekonomi dianggap sebagai keperluan asas sesebuah negara. Masyarakat perlu berada pada tahap ekonomi yang memuaskan sebelum ia dapat membangunkan aspek-aspek yang lain.

Keadaan ekonomi yang baik akan dapat membangunkan kesejahteraan dan kebajikan yang lain. Sejak merdeka negara kita telah menjalankan berbagai program dan rancangan untuk meninggikan taraf ekonomi rakyat. Berbagai projek telah dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Luar Bandar, berbagai rancangan penerokaan tanah hinggalah ke Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Program-program pembangunan ekonomi dijalankan dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

Menjelang tahun 2020 masyarakat Malaysia diharapkan dapat menikmati ekonomi yang adil dan saksama. Pengertian masyarakat yang adil ekonominya boleh dirumuskan seperti berikut:

  1. Keadaan bila semua rakyat terlepas dari kemiskinan mutlak
  2. Tiada rakyat yang menderita akibat kekurangan zat makanan dan makanan tersedia secukupnya.
  3. Tempat berlindung, perkhidmatan perubatan dan keperluan asas adalah mencukupi.
  4. Golongan menengah yang besar lagi giat.
  5. Peluang-peluang tersedia untuk golongan yang berada pada taraf ekonomi yang rendah untuk memperbaiki keadaan hidup mereka.
  6. Terdapat imbangan yang wajar dalam bidang-bidang iktisas dari semua jenis pekerjaan yang utama.
  7. Terbentuknya sebuah komuniti perdagangan dan industri bumiputera.
  8. Perkongsian sepenuhnya kemajuan ekonomi. Pengagihan yang adil dari segala segi.
  9. Terdapat imbangan yang adil di kalangan kelompok-kelompok etnik termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak dari segi penyertaan dan sumbangan terhadap sektor-sektor moden.


Mengikut bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir keadilan ini hanya dapat dicapai dengan usaha yang bukan sahaja bersungguh-sungguh tetapi mestilah dijalankan dengan penuh kejujuran.

Dasar Ekonomi Baru mempunyai matlamat penting untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang perbezaan antara rakyat serta menghapuskan identiti pekerjaan dengan keturunan. Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, dan seterusnya Keempat mengamalkan Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini tidak bertujuan untuk mengambil hak sesuatu kaum tetapi untuk merapatkan jurang perbezaan antara yang berada dengan yang tidak berada, tanpa mengira keturunan masing-masing. Matlamat utama ialah perpaduan negara.

Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-

  1. Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum
  2. Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.


Kemiskinan merupakan sebab utama yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan rakyat, tidak kira di bandar atau di luar bandar yang melibatkan semua kumpulan kaum. Kemiskinan juga menimbulkan satu putaran yang berulang dari segi kejahilan, kesengsaraan, daya pengeluaran yang rendah dan keadaan hidup yang daif. Di negara kita ini, suasana kemiskinan boleh mencacatkan perpaduan negara. Kaum bumiputera telah jauh ketinggalan dan keadaan ini boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati yang boleh mengancam keselamatan dan kedamaian negara.

DEB berusaha menyusun semula masyarakat dengan cara:

  1. Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar melalui proses memodenkan kawasan-kawasan luar bandar.
  2. Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang, dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya, supaya penyertaan berbagai kaum dalam sektor-sektor utama ekonomi akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang 1990. 


Tempoh Dasar Ekonomi Baru telah tamat pada tahun 1990. Pada tahun 1991 Kerajaan telah mengumumkan Dasar Pembangunan Negara (DPN). DPN mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbang ke arah mengukuhkan perpaduan negara.

DPN menjurus secara langsung kepada matlamat mencapai keadilan ekonomi. Ini termasuklah mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama, memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan menjadi lebih sama rata dan saling melengkapi dan membantu di antara satu dengan lain. DPN juga mempunyai strategi untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan keadaan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. DPN juga menggalakkan dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar serta membangunkan sebuah masyarakat progresif di mana kesejahteraan dinikmati oleh semua rakyat, di samping memiliki sikap dan nilai kerohanian yang positif. 


Di samping meneruskan cita-cita DEB, DPN mengemukakan beberapa strategi baru iaitu:

  1. Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. ( MPPB)
  2. Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan masyarakat.
  3. Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
  4. Usaha-usaha yang lebih gigih dijalankan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.


Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga diambil melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.

Peningkatan taraf sosial dan ekonomi masyarakat bumiputera boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan gunatenaga dan penyertaan bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.

Gunatenaga di berbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi disusun supaya mencerminkan komposisi berbagai kumpulan etnik dalam negara. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan negara.

Di bawah DPN kerajaan akan terus memberi peluang dan mengagihkan sebahagian daripada punca kekayaan negara kepada bumiputera. Tetapi kerajaan tidak boleh menentukan bahawa bahagian yang diperuntukkan kepada bumiputera akan kekal dan bertambah. Bumiputera sendirilah yang harus berusaha dan bertanggungjawab untuk memelihara dan melipatgandakan harta kekayaan mereka.

Dr. Mahathir juga sering mengingatkan bahawa kaum-kaum lain tidak sepatutnya merasa bimbang dengan segala langkah yang diambil untuk membantu bumiputera kerana langkah-langkah ini akan membawa kebaikan jangka panjang kepada negara dan semua rakyat. Kejayaan ini kelak akan menjamin keadilan sosial dan pengagihan ekonomi yang saksama seperti yang dicita-citakan oleh wawasan 2020 dan tertera melalui cabaran kelapan ini.

Wednesday, 2 November 2016

Adakah zakat bertujuan membasmi kemiskinan? - Week 8


Zakat dalam ajaran Islam memiliki kedudukan yang sangat penting. Untuk menggambarkan betapa pentingnya kedudukan zakat dalam Islam, kata az zakāh disebutkan secara berulang-ulang sebanyak 72 kali. Rasulullah S.A.W. dalam berbagai penjelasan Baginda menegaskan bahawa zakat sebagai salah satu unsur yang sangat penting kedudukannya dari bangunan keislaman. Oleh itu,  dapat difahami bahawa zakat merupakan bahagian mutlak yang harus ada dari keislaman seseorang.

Lantaran itu, apakah maksud zakat? Zakat dari segi bahasa bererti “bersih”, “suci”, “subur”, “berkat” dan “berkembang”.  Dalam kata lain, zakat ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam. Manakala zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Berzakat merupakan salah satu kewajiban setiap Muslim di dalam aspek harta. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang kelima. 

Berikut merupakan dalil kewajipan zakat;


“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)


“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)


“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)


Setelah dibincangkan sedikit sebanyak tentang zakat di atas, kami berpendapat bahawa zakat dapat membasmi kemiskinan. Ia merupakan tujuan utama mengapa zakat diberi penekanan dalam Islam. Dengan adanya pengagihan zakat, ia dapat diagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada. Ini dapat mengurangkan jurang ekonomi antara orang yang kaya dan orang yang miskin, lantas meningkatkan keseimbangan ekonomi negara. Tambahan pula, pengagihan zakat memberi peluang kepada masyarakat untuk mentadbir dan mengurus kewangan secara harmoni, lantas memberi lebih keberkatan dalam rezeki yang diterima. Dengan adanya keberkatan rezeki, kita tidak akan sesuka hati mengambil hak orang lain yang lebih memerlukan, justeru itu dapat memastikan penerimaan zakat oleh mereka yang layak. Kami juga percaya bahawa pemberi zakat akan lebih banyak mendapat faedah berbanding penerima zakat kerana bukan sahaja kita telah melaksanakan salah satu rukun Islam, malah kita akan berasa lebih tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa kita.