Secara ringkas, kemiskinan terbahagi kepada dua, iaitu kemiskinan mutlak dan kemiskinan relatif. Kemiskinan mutlak ditakrifkan sebagai satu keadaan di mana pendapatan kasar bulanan tidak mencukupi untuk membeli keperluan minimum sesebuah isi rumah yang diukur berdasarkan tahap perbelanjaan minimum atau pendapatan garis kemiskinan (PGK). Kemiskinan relatif bermaksud ketidaksamaan pendapatan antara kumpulan. Ianya diukur dengan menggunakan nisbah perbezaan pendapatan kumpulan pendapatan, kumpulan etnik dan penghuni bandar dan luar bandar.
Cabaran yang kelapan; "Menjamin Sebuah Masyarakat Yang Adil dan Saksama Ekonominya" dalam menggapai Wawasan 2020 memberikan tumpuan kepada bidang ekonomi. Ekonomi dianggap sebagai keperluan asas sesebuah negara. Masyarakat perlu berada pada tahap ekonomi yang memuaskan sebelum ia dapat membangunkan aspek-aspek yang lain.
Keadaan ekonomi yang baik akan dapat membangunkan kesejahteraan dan kebajikan yang lain. Sejak merdeka negara kita telah menjalankan berbagai program dan rancangan untuk meninggikan taraf ekonomi rakyat. Berbagai projek telah dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Luar Bandar, berbagai rancangan penerokaan tanah hinggalah ke Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional. Program-program pembangunan ekonomi dijalankan dengan tujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyatupadukan rakyat berbilang kaum.
Menjelang tahun 2020 masyarakat Malaysia diharapkan dapat menikmati ekonomi yang adil dan saksama. Pengertian masyarakat yang adil ekonominya boleh dirumuskan seperti berikut:
- Keadaan bila semua rakyat terlepas dari kemiskinan mutlak
- Tiada rakyat yang menderita akibat kekurangan zat makanan dan makanan tersedia secukupnya.
- Tempat berlindung, perkhidmatan perubatan dan keperluan asas adalah mencukupi.
- Golongan menengah yang besar lagi giat.
- Peluang-peluang tersedia untuk golongan yang berada pada taraf ekonomi yang rendah untuk memperbaiki keadaan hidup mereka.
- Terdapat imbangan yang wajar dalam bidang-bidang iktisas dari semua jenis pekerjaan yang utama.
- Terbentuknya sebuah komuniti perdagangan dan industri bumiputera.
- Perkongsian sepenuhnya kemajuan ekonomi. Pengagihan yang adil dari segala segi.
- Terdapat imbangan yang adil di kalangan kelompok-kelompok etnik termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak dari segi penyertaan dan sumbangan terhadap sektor-sektor moden.
Mengikut bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir keadilan ini hanya dapat dicapai dengan usaha yang bukan sahaja bersungguh-sungguh tetapi mestilah dijalankan dengan penuh kejujuran.
Dasar Ekonomi Baru mempunyai matlamat penting untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan merapatkan jurang perbezaan antara rakyat serta menghapuskan identiti pekerjaan dengan keturunan. Rancangan Malaysia Kedua, Ketiga, dan seterusnya Keempat mengamalkan Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini tidak bertujuan untuk mengambil hak sesuatu kaum tetapi untuk merapatkan jurang perbezaan antara yang berada dengan yang tidak berada, tanpa mengira keturunan masing-masing. Matlamat utama ialah perpaduan negara.
Rancangan-rancangan pembangunan di bawah Dasar Ekonomi Baru dijalankan menerusi strategi serampang dua mata:-
- Pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum
- Penyusunan semula masyarakat untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.
Kemiskinan merupakan sebab utama yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan rakyat, tidak kira di bandar atau di luar bandar yang melibatkan semua kumpulan kaum. Kemiskinan juga menimbulkan satu putaran yang berulang dari segi kejahilan, kesengsaraan, daya pengeluaran yang rendah dan keadaan hidup yang daif. Di negara kita ini, suasana kemiskinan boleh mencacatkan perpaduan negara. Kaum bumiputera telah jauh ketinggalan dan keadaan ini boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati yang boleh mengancam keselamatan dan kedamaian negara.
DEB berusaha menyusun semula masyarakat dengan cara:
- Meninggikan daya pengeluaran dan taraf kehidupan golongan miskin di luar bandar melalui proses memodenkan kawasan-kawasan luar bandar.
- Mengurangkan keadaan yang tidak seimbang dalam struktur guna tenaga yang terdapat sekarang, dengan cara yang progresif dan menerusi pertumbuhan ekonomi seluruhnya, supaya penyertaan berbagai kaum dalam sektor-sektor utama ekonomi akan mencerminkan kedudukan tenaga buruh mengikut komposisi kaum menjelang 1990.
Tempoh Dasar Ekonomi Baru telah tamat pada tahun 1990. Pada tahun 1991 Kerajaan telah mengumumkan Dasar Pembangunan Negara (DPN). DPN mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbang ke arah mengukuhkan perpaduan negara.
DPN menjurus secara langsung kepada matlamat mencapai keadilan ekonomi. Ini termasuklah mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama, memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk membolehkan pertumbuhan menjadi lebih sama rata dan saling melengkapi dan membantu di antara satu dengan lain. DPN juga mempunyai strategi untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan keadaan ketidakseimbangan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. DPN juga menggalakkan dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar serta membangunkan sebuah masyarakat progresif di mana kesejahteraan dinikmati oleh semua rakyat, di samping memiliki sikap dan nilai kerohanian yang positif.
Di samping meneruskan cita-cita DEB, DPN mengemukakan beberapa strategi baru iaitu:
- Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera. ( MPPB)
- Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan masyarakat.
- Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.
- Usaha-usaha yang lebih gigih dijalankan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan di antara wilayah khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain.
Program pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di bandar-bandar juga dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif dikurangkan menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Langkah-langkah juga diambil melalui perancangan dan penetapan zon pembangunan bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.
Peningkatan taraf sosial dan ekonomi masyarakat bumiputera boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi meningkatkan gunatenaga dan penyertaan bumiputera dalam pengurusan sektor-sektor moden dan membentuk masyarakat perdagangan dan perindustrian Bumiputera.
Gunatenaga di berbagai sektor dan pekerjaan dalam ekonomi disusun supaya mencerminkan komposisi berbagai kumpulan etnik dalam negara. Ketidakseimbangan ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan negara.
Di bawah DPN kerajaan akan terus memberi peluang dan mengagihkan sebahagian daripada punca kekayaan negara kepada bumiputera. Tetapi kerajaan tidak boleh menentukan bahawa bahagian yang diperuntukkan kepada bumiputera akan kekal dan bertambah. Bumiputera sendirilah yang harus berusaha dan bertanggungjawab untuk memelihara dan melipatgandakan harta kekayaan mereka.
Dr. Mahathir juga sering mengingatkan bahawa kaum-kaum lain tidak sepatutnya merasa bimbang dengan segala langkah yang diambil untuk membantu bumiputera kerana langkah-langkah ini akan membawa kebaikan jangka panjang kepada negara dan semua rakyat. Kejayaan ini kelak akan menjamin keadilan sosial dan pengagihan ekonomi yang saksama seperti yang dicita-citakan oleh wawasan 2020 dan tertera melalui cabaran kelapan ini.
No comments:
Post a Comment