Zakat dalam ajaran Islam memiliki kedudukan yang sangat penting. Untuk menggambarkan betapa pentingnya kedudukan zakat dalam Islam, kata az zakāh disebutkan secara berulang-ulang sebanyak 72 kali. Rasulullah S.A.W. dalam berbagai penjelasan Baginda menegaskan bahawa zakat sebagai salah satu unsur yang sangat penting kedudukannya dari bangunan keislaman. Oleh itu, dapat difahami bahawa zakat merupakan bahagian mutlak yang harus ada dari keislaman seseorang.
Lantaran itu, apakah maksud zakat? Zakat dari segi bahasa bererti “bersih”, “suci”, “subur”, “berkat” dan “berkembang”. Dalam kata lain, zakat ialah membersihkan diri daripada sifat dengki dan dendam. Manakala zakat dari segi syarak pula ialah mengeluarkan sebahagian harta tertentu diberikan kepada asnaf-asnaf yang berhak menerimanya setelah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak. Berzakat merupakan salah satu kewajiban setiap Muslim di dalam aspek harta. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang kelima.
Berikut merupakan dalil kewajipan zakat;
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah, supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka, dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui.” – Surah At-Taubah (ayat 103)
“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”- Surah An-Nur (ayat 56)
“Dan (ingatlah wahai Muhammad), Ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan ALLAH, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, serta orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil daripada kamu dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.” – Surah Al-Baqarah (ayat 83)
Setelah dibincangkan sedikit sebanyak tentang zakat di atas, kami berpendapat bahawa zakat dapat membasmi kemiskinan. Ia merupakan tujuan utama mengapa zakat diberi penekanan dalam Islam. Dengan adanya pengagihan zakat, ia dapat diagihkan sebahagian kecil kekayaan daripada golongan yang berada kepada golongan yang kurang berada. Ini dapat mengurangkan jurang ekonomi antara orang yang kaya dan orang yang miskin, lantas meningkatkan keseimbangan ekonomi negara. Tambahan pula, pengagihan zakat memberi peluang kepada masyarakat untuk mentadbir dan mengurus kewangan secara harmoni, lantas memberi lebih keberkatan dalam rezeki yang diterima. Dengan adanya keberkatan rezeki, kita tidak akan sesuka hati mengambil hak orang lain yang lebih memerlukan, justeru itu dapat memastikan penerimaan zakat oleh mereka yang layak. Kami juga percaya bahawa pemberi zakat akan lebih banyak mendapat faedah berbanding penerima zakat kerana bukan sahaja kita telah melaksanakan salah satu rukun Islam, malah kita akan berasa lebih tenang dan tenteram dalam hati dan jiwa kita.



No comments:
Post a Comment