Tuesday, 13 December 2016

Analisa Setakat Mana Rakyat Malaysia Menghadapi Kesembilan Cabaran Wawasan 2020

Wawasan 2020 ialah cetusan idea, pandangan atau saranan Perdana Menteri Dato Seri Dr. Mahathir untuk membangun negara Malaysia dan corak negara Malaysia yang diingini pada tahun 2020. Pandangan ini telah dikemukakan di dalam kertas kerjanya yang berjodol "Malaysia: The Way Forward" yang diucapkan di persidangan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Feb 1991 dan merupakan huraian yang jelas tentang arah perkembangan masa depan negara ini. Pandangan dan saranan ini kini menjadi gagasan negara dan dikenali sebagai WAWASAN 2020. Matlamat Wawasan 2020 ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari segala segi iaitu ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan. Malaysia akan menjadi sebuah negara perindustrian yang maju tetapi mengekalkan nilai-nilai murni, menikmati taraf hidup yang tinggi, keamanan dan keadilan sosial serta bangga terhadap negara. Antara sembilan cabaran Wawasan 2020 adalah:

Cabaran Pertama
mewujudkan sebuah negara yang bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Iaitu sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama  sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

Cabaran Kedua
mewujudkan sebuah negara yang berjiwa bebas, tenteram dan maju  dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada, dengan apa yang dicapai, gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat malaysia yang mudah dikenali dari sikap ingin mencapai kecemerlangan, sedar semula kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa dan dihormati oleh rakyat negara lain.

Cabaran Ketiga
mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik dan mengamalkan satu bentuk persefahaman matang iaitu demokrasi malaysia yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun.

 Cabaran Keempat
mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika, kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang tinggi.

Cabaran Kelima
mewujudkan masyarakat yang liberal dan bertolak ansur, di mana masyarakat pelbagai kaum di malaysia bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.

Cabaran Keenam
mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang  mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke hadapan yang  bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan

cabaran ketujuh
mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu satu   sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat adalah lebih utama daripada diri sendiri, yang mana kebajikan insan tidak akan berkisar kepada orang perseorangan tetapi disekeliling sistem keluarga yang kukuh.

Cabaran Kelapan
memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, yang mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak   akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi dan kemunduran ekonomi berdasarkan kaum. 

Cabaran Kesembilan
Memujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi yang boleh bersaing, dinamik, giat dan berdaya tahan.

sejauh manakah kita telah bergerak kearah mencapai wawasan ini dan setakat mana kita sebagai rakyat Malaysia bersedia menghadapi Wawasan 2020 ini?

Membina Bangsa Malaysia yang bersatupadu diletakkan sebagai cabaran pertama Wawasan 2020. Ini memberikan gambaran bahawa ia adalah cabaran terpenting. Gambaran ini adalah tepat kerana pembentukan bangsa yang bersatu dianggap syarat utama di dalam menjayakan segala cita-cita negara yang terkandung di dalam Wawasan 2020.Negara tidak mungkin dapat membangun di dalam apa bidang sekalipun jika sekiranya rakyat tidak dapat bersatu hati dan enggan bekerjasama. Kita  sering melaungkan “Bersatu Teguh Bercerai Runtuh”. Negara hanya dapat dibina di  dalam suasana yang aman dan damai. Ketenteraman ini hanya dapat dijamin dengan adanya persefahaman di antara rakyat. Kerajaan telah melancarkan dasar-dasar yang bermatlamatkan penyatuan dan perpaduan rakyat seperti Dasar Ekonomi Baharu (DEB) pada tahun 1992 yang ternyata berkesan dalam menyatukanpadukan rakyat terutamanya dalam bidang ekonomi. Selain itu, Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang bertujuan membasmi kemiskinan seiring dengan DEB juga menunjukkan impak yang besar daripada pengurangan rakyat miskin berbanding dahulu.


Seterusnya, cabaran Wawasan 2020 juga terdiri daripada membentuk masyarakat demokratik yang matang. Ini merujuk kepada corak kerajaan dan pentadbiran kerana sesebuah kerajaan yang bersih dan mantap adalah amat penting didalam perjalanan dan pembangunan sesebuah negara. Sebuah negara yang tidak mempunyai kerajaan yang sah dan kukuh akan menghadapai kekacauan dan huru hara. Kita melihat bagaimana beberapa negara di dunia menjadi kucar-kacir akibat tidak ditadbir oleh kerajaan yang kuat dan diterima oleh rakyat. Kerajaan adalah payung yang melindungi rakyat. Kerajaan memegang teraju dan menentukan perjalanan negara. Kestabilan kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan di dalam usaha kita untuk menuju taraf negara maju.  Oleh kerana itulah, Malaysia perlu mempunyai kerajaan yang kuat yang dapat melindungi dan meninggikan taraf hidup rakyat. Kita berpegang kepada sistem demokrasi kerana kita yakin bahawa ia adalah sistem yang terbaik. Rakyat Malaysia amat mengharapkan yang kemurnian demokrasi di negara ini akan terus terpelihara. Rakyat diberi hak untuk memilih Kerajaan kerana kita ingin memelihara hak sebagai warga negara Malaysia yang berdaulat.

Faktor manusia ialah yang paling penting di dalam menjayakan Wawasan 2020. Berjaya atau tidaknya Wawasan ini bergantung kepada kesanggupan dan kemampuan rakyat untuk bekerja dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Kejayaan Wawasan tidak hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi atau kesempurnaan sesuatu sistem yang diamalkan. Segala teknologi atau sistem yang canggih akan gagal jika rakyat tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti kejujuran, kerajinan, berdisplin, amanah dan sebagainya. Sumber negara yang paling penting ialah rakyatnya. Pembangunan sumber tenaga manusia banyak bergantung kepada perubahan nilai dan sikap dikalangan penduduknya. Nilai-nilai yang dikongsi bersama akan membantu pemupuk budaya dan membina bangsa. Nilai dan sikap positif harus diamalkan. Menyedari hakikat inilah negara memberi penekanan kepada faktor pembangunan manusia. Kita memberi penekanan kepada sistem keluarga kerana keluarga yang sejahtera adalah asas kepada pembangunan masyarakat yang sejahtera. Anak-anak yang terdidik di dalam suasana keluarga yang penyayang akan membesar sebagai individu yang mempunyai nilai-nilai positif, memiliki keyakinan diri dan mewarisi sifat-sifat yang murni.

Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

No comments:

Post a Comment