Tuesday, 13 December 2016

Refleksi Diri

AMIRAH FARIHAH BT. ROSLI

MINGGU 4

Pada hari ini saya telah mempelajari Surah al-Hujurat ayat 6 dan 7. Ayat 6 ini menerangkan bahawa jika kita mendapat sesuatu berita, kita hendaklah melakukan penyelidikan terhadap berita tersebut untuk mengesahkan kesahihannya sebelum menyebarkan kepada orang lain (tabayyun). Jika kita menerima berita tanpa mengetahui kebenarannya lalu menyebarkan berita tersebut, kecelakaan terhadap orang lain mungkin terjadi atas kejahilan kita untuk tidak mengesahkan bahawa berita tersebut adalah benar atau tidak.Tabayyun juga merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah S.AW. Oleh itu, saya berazam untuk sentiasa tabayyun untuk mengelakkan masalah dan fitnah terhadap orang lain.

MINGGU 5

Pada hari ini, saya telah mempelajari tentang adab bantu-membantu sesama manusia yang tidak terbatas akan perbezaan kaum dari video yang telah dicari oleh rakan sekelas saya. Dalam video tersebut, seorang wanita Melayu yang prihatin telah membantu pak cik berbangsa Cina yang tua dan kurang upaya yang tinggal sendirian untuk mendapatkan suasana yang lebih selesa dengan menghebahkan tentang bantuan yang diperlukan oleh pak cik tersebut kepada orang ramai. Disebabkan oleh hebahan wanita itu, pakcik itu mendapat bantuan dari segi katil baru dan bantuan penjagaan oleh dua orang jururawat untuk memantau keadaan pakcik itu. Justeru itu, saya berazam untuk sentiasa membantu semua tidak kira bangsa dan agama kerana pada akhirnya, kita hanyalah manusia biasa yang hidup dalam keadaan bergantung antara satu sama dan lain.

MINGGU 6

Pada hari ini, saya telah berlajar tentang ilmu tasawwuf. Tasawuf (Tasawwuf) atau Sufisme (bahasa Arab: تصوف , ) adalah ilmu untuk mengetahui bagaimana cara menyucikan jiwa, menjernihan akhlak, membangun zahir dan batin, untuk memperoleh kebahagian yang abadi. Ajaran Tasawwuf terbahagi kepada tiga, iaitu Tasawuf Aqidah, Tasawuf Ibadah dan Tasawuf Akhlak. Meskipun Tasawuf ini hanya bersifat sunat, namun saya berazam untuk mendalami ilmu ini kerana ilmu ini akan membantu saya untuk lebih mendekati Allah S.W.T.

MINGGU 7

Pada hari ini, saya telah belajar tentang perlembagaan. Perlembagaan Malaysia merupakan kuasa yang tertinggi di Malaysia. Tiada undang-undang di Malaysia yang bercanggah dengan Perlembagaan. Yang di-Pertuan Agong juga tertakluk kepada Perlembagaan meskipun beliau mempunyai kedudukan yang tertinggi di Malaysia. Namun begitu, Perlembagaan Malaysia yang mempunyai kuasa tertinggi ini boleh diubah. Oleh itu, amat penting bagi kita sebagai rakyat untuk mempunyai ilmu tentang perlembagaan, terutama sekali dalam sistem demokrasi. Ini adalah untuk mengelakkan kita dari ditipu oleh pemerintah. Lantaran itu, saya berazam untuk mengambil tahu tentang Perlembagaan Malaysia, tentang sejarah negara kita, agar saya mengetahui tentang hak-hak saya sebagai seorang rakyat dan warganegara Malaysia.

MINGGU 8

Pada hari ini, saya telah belajar tentang beberapa usaha kerajaan Malaysia untuk meningkatkan ekonomi negara kita. Antara usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Dasar Awam Pertanian, Dasar Awam Perindustrian, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, serta Dasar Industri Berat Negara. Setiap satu Dasar yang dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan beban kerajaan, menghapuskan kemiskinan luar bandar, mengurangkan pergantungan Malaysia kepada negara luar, dan yang paling penting sekali ialah menangani kelemahan sosioekonomi Bumiputera, serta membuka lebih banyak peluang kepada Bumiputera. Oleh itu, saya berazam untuk lebih menghargai apa yang telah dilakukan kerajaan dan tidak menyalahkan kerajaan atas kegagalan saya kerana kerajaan telah memberi pelbagai peluang kepada rakyat, khususnya Bumiputera untuk membaiki taraf hidup mereka.

MINGGU 9

Pada hari ini, saya telah belajar tentang undang-undang jenayah dalam Islam. Terdapat 3 jenis undang-undang jenayah dalam Islam, iaitu Qisas & Diyaf, Hudud, dan Ta'zir. Undang-undang tersebut merupakan hak individu, hak Allah dan hak pemerintah. Setiap apa yang dilakukan oleh kita, akan dikenakan balasan yang setimpal. Oleh itu, saya berazam untuk sentiasa melayan antara kita dengan baik dan dengan penuh ihsan, serta tidak melanggar hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah serta undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

MINGGU 10

Pada minggu ini saya tidak menghadiri kuliah kerana menghadiri Istiadat Konvokesyen ke -85 di UiTM Seri Iskandar.

MINGGU 11

Pada hari ini saya belajar tentang Al' Adalah, di mana ia membawa maksud keadilan. Rasulullah S.A.W. telah bersikap adil terhadap semua, di mana Baginda bersikap adil meskipun terhadap anak sendiri.
Saya berazam untuk sentiasa bersikap adil untuk mengelakkan sebarang ketidakpuasan hati dari mana-mana pihak. Saya juga ingin bersikap adil untuk mengelakkan krtikan terhadap agama Islam.

NUR FATIHAH BT. KARIM

MINGGU 3

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai Perjanjian Azali yang telah kita persetujui ketika dialam roh sebelum wujudnya kita bumi ini. Perjanjian ini menunjukkan bahawa setiap manusia adalah sama disisi Allah S.W.T. Setiap manusia adalah sebagai khalifah di muka bumi yang telah berjanji untuk mentaati dan menurut segala perintah dan meninggalkan larangan Tuhan. Kewujudan kita dimuka bumi adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T walaupun pada pandangan kita, setiap antara manusia adalah berbeza mengikut kaum, agama dan lain-lain. Maka, saya berazam untuk menghargai setiap perbezaan antara kita dan menjadikannya sebagai tunjang utama untuk lebih beribadah kepada Allah S.W.T.

MINGGU 4

Pada hari ini saya telah mempelajari berkenaan surah Al-Hujurat ayat 6&7 yang menyebut tentang orang fasik yang datang membawa berita palsu. Ayat ini menjelaskan bahawa kita hendaklah sentiasa menyelidik setiap perkara dengan teliti sebelum kita menyebarkan atau membuat apa-apa andaian. Sesungguhya orang yang menyebarkan berita-berita palsu ini adalah sama sperti mereka yang fasik kerana mempercayai setiap apa yang diperkatakan oleh orang lain. Maka dengan itu, saya berazam untuk menyelidik perkara yang diceritakan oleh orang lain supaya saya tidak meletakkan kesalahan pada tempat yang salah dan sentiasa berada di jalan kebenaran. Pada zaman teknologi ini kita juga terdedah kepada fitnah yang begitu mudah tersebar walaupun tiada kesahihan terhadap sesuatu berita.

MINGGU 5

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai adab- adab yang ada pada setiap bangsa. setiap bangsa terkenal dengan adab masing- masing. Contohnya, bangsa melayu terkenal dengan adab sopan-santun yang ada pada diri kita manakala bangsa Arab pula terkenal dengan adab mereka terhadap tetamu. Bagi mereka, tetamu haruslah diraikan sehingga 3hari walaupun sesiapun mereka. selain itu, bangsa Arab juga terkenal dengan sikap mereka yang sentiasa menepati janji walaupun banyak pandangan buruk yang kita dengar mengenai mereka oleh kerana perwatakan mereka yang kasar dan fizikal mereka yang besar. Maka dengan itu saya berazam untuk lebih mempelajari adab dan budaya bangsa lain dan menghormati budaya mereka jika berhadapan dengan mereka. Dengan ini, kita akan dapat mengeratkan lagi hubungan antara kita sesama manusia tidak mengira bangsa, agama dan budaya.

MINGGU 6

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai ilmu tasawwuf. sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai ilmu tasawur yang merupakan dua perkara yang berbeza. Tasawwuf adalah berkenaan penyucian hati yang berkait rapat denga niat kita dan ianya semakin pudar dalam diri setiap individu. Generasi kini berbeza dengan generasi terdahulu  oleh kerana ilmu tasawwuf yang mereka pelajari. ilmu tasawwuf inilah yang akan menguatkan iman dalam hati kita yang secara tidak langsung akan menghalang kita dari melakukan perkara kemungkaran. Oleh it, saya berazam untuk lebih banyak mempelajari ilmu-ilmu selain dari ilmu yang sedang saya pelajari dengan cara banyakkan membaca dan mendalami al-quran dan lain-lain kitab.

MINGGU 7

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai perlembagaan Malaysia yang merupakan kuasa yang tertinggi di Malaysia. Saya juga dapat menambah ilmu mengenai Perlembagaan Malaysia yang sangat penting dalam sistem pemerintahan di Malaysia kerana ia merangkumi seluruh perkara bukan sahaja berkaitan bahagian perundangan malah bahagian lain seperti badan legislatif, badan kehakiman dan lain-lain. Perlembagaan Malaysia berfungsi untuk menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran, memelihara kedaulatan institusi diraja dan juga pelbagai fungsi yang lain. Maka dengan itu saya berazam untuk lebih banyak membaca mengenai Perlembagaan Malaysia dan perkara berkaitan agar dapat mendidik diri saya menjadi belia yang dapat menyumbang untuk negara dan melaksanakan tanggungjawab terhadap, negara, bangsa dan agama.

MINGGU 8

Pada minggu ini saya tidak menghadiri kuliah kerana menghadiri Istiadat Konvokesyen ke -85 di UiTM Terengganu.

MINGGU 9

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang cabaran wawasan 2020. seperti yang kita sedia maklum, hanya tinggal 4 tahun sahaja lagi bagi kita untuk merealisasikan perkara ini walaupun masih terdapat perkara yang belum dapat dicapai pada ketika ini. Dalam perkara ini, usaha semua pihak amat penting dalam memastikan Wawasan 2020 dapat dicapai. Kita perlu bergerak seiring dengan negara-negara lain yang jauh maju kehadapan. Maka, denagn itu saya berazam untuk meningkatkan diri saya sebagai anggota masyarakat yang berfikiran jauh dan terbuka agar dapat mengatasi cabaran ini. Untuk menjadi sebuah negara maju, bukan hanya bermakna negara perlu mencapai tahap kemajuan dari segi pembangunan, bahkan rakyatnya harus terdiri dari individu yang mempunyai fikiran kelas pertama seiring dengan status negara maju yang bakal dicapai oleh  negara kita. oleh itu, amat penting bagi sebagai rakyat Malaysia untuk memainkan peranan kepada diri sendiri dan juga dalam kalangan masyarakat.

MINGGU 10

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai survival melayu dan bumiputra. Ini merupakan satu usaha kerajaan untuk memastikan kehidupan dan kewujudan orang melayu dan bumiputra terus terjamin mengikut perlembagaan Malaysia. Perkara 153 adalah berkenaan hal istimewa orang melayu dan bumiputra yang meliputi biasiswa, kuota pendidikan, jawatan dan perkhidmatan awam dan lain-lain perkara berkaitan. Ini bagi memastikan orang melayu dan bumiputra tidak ditindas dan dapat bergerak seiring dengan kaum lain yang ada dinegara ini. Dalam perkara ini, kerajaan sejak dahulu lagi telah melakukan pelbagai cara seperti penubuhan rida yang dikhaskan untuk orang melayu dan DEB yang diwujudkan bagi meningkatkan ekonomi melayu dan taraf kehidupan masyarakat melayu.  Maka dengan itu saya berazam untuk meningkatkan keupayaan diri sendiri dan tidak hanya mengharapkan usaha dari kerajaan semata-mata. Perkara ini penting bagi memastikan saya dapat berdaya saing dengan kaum lain bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia. Keupayaan yang ada pada diri saya akan saya gunakan untuk meningkatkan taraf masyarakat disekeliling saya seterusnya menjadi bangsa yang disegani seperti suatu waktu kegemilangan ketika dahulu dimana kaum melayu sangat disanjung ketika zaman pemrintahan kesultanan melayu melaka.

MINGGU 11

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai konsep al-syura yang bermaksud mesyuarat. Melalui mesyuarat kita dapat berbincang mengenai sesuatu perkara dan meminta pendapat orang lain mengenainya. Dengan cara ini kita dapat membuka minda kita melalui sudut perspektif yang lain dari pandangan orang lain. Dengan ini topik sesuatu perbincangan itu dapat dikembangkan hasil perbincangan semua pihak. Konsep al-syura bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri malah turut memberi manfaat kepada masyarakat melalui kata sepakat yang diputuskan. Ini akan mengelakkan berlakunya perselisihan faham dan menjamin keharmonian sejagat. Maka dengan itu saya berazam untuk lebih banyak berkongsi masalah atau idea saya dengan orang lain agar ia dapat diatasi dengan cara yang terbaik yang mungkin didapati dari orang lain yang lebih baik.

YUSRINA NAJIHAH BT. AHMAD

MINGGU 3

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang adab orang Arab di mana saya tidak pernah tahu iaitu mereka sangat meraikan serta memuliakan tetamu mereka. Saya juga baru sahaja mendapat tahu bahawa orang Arab berpegang dan menepati janji mereka di mana perkara ini amat sukar untuk dilakukan oleh kebanyakan individu pada hari ini. Maka dengan itu saya berazam untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam diri saya supaya dapat dijadikan amalan yang dapat membantu saya pada masa akan datang. Saya akan lebih prihatin dalam bab meraikan tetamu untuk mengeratkan silaturrahim dan ukhuwah sesama manusia dan juga saya akan belajar untuk lebih menitikberatkan soal menepati janji supaya dapat menggambarkan imej serta personaliti yang bagus kepada orang sekeliling.

MINGGU 4

Pada hari ini saya telah mempelajari Surah al-Hujurat ayat 7 di mana ayat ini menerangkan bahawa Allah S.W.T. telah menjadikan semua manusia cinta pada keimanan dan benci akan kekafiran serta kefasikan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa setiap manusia diciptakan dengan permulaan yang baik dan sebarang perkara yang tidak baik yang dilakukan di alam kehidupan di dunia adalah pilihan individu tersebut sendiri. Tidak mustahil mereka yang banyak melakukan kesilapan boleh kembali pada permulaan mereka yang baik sekiranya mereka mendapat keinsafan dalam diri masing-masing. Maka dengan itu saya berazam untuk sentiasa mengamalkan amalan-amalan yang akan sentiasa membantu saya untuk mengukuhkan keimanan dan ketaqwaan terhadap Allah S.W.T. dan tidak lupa juga untuk sentiasa memohon diberikan petunjuk dan hidayah-Nya setiap masa supaya tidak lalai dalam melayari kehidupan di dunia ini.

MINGGU 5

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang adab bantu-membantu sesama manusia yang tidak terbatas akan perbezaan kaum di mana tidak salah bagi kaum Melayu untuk membantu kaum Cina dan begitu juga sebaliknya untuk kesejahteraan dan perpaduan rakyat. Saya sangat kagum dengan sikap individu di dalam video yang ditontonkan iaitu seorang wanita Melayu yang prihatin serta baik hati yang membantu pak cik berbangsa Cina yang tua dan kurang upaya yang tinggal sendirian untuk mendapatkan suasana yang lebih selesa dengan menghebahkan tentang bantuan yang diperlukan oleh pak cik tersebut. Selain itu, saya juga sangat kagum dengan semangat pak cik itu yang tidak mengharapkan simpati dan hidup tidak bergantung pada sesiapa walaupun dia hanya bergerak menggunakan kerusi roda untuk ke mana-mana. Maka dengan itu saya berazam untuk menerapkan nilai-nilai seperti wanita di dalam video tersebut ke dalam diri saya sendiri dan akan cuba untuk sentiasa berbudi tidak kira pada sesiapa demi mengekalkan perpaduam kaum. Saya juga akan menjadikan pak cik tersebut sebagai inspirasi untuk saya terus berjuang dalam hidup saya tanpa terlalu bergantung dan menyusahkan sesiapa untuk mencapai impian saya.

MINGGU 6

Pada hari ini saya telah mempelajari tasawwuf iaitu berkaitan dengan penyucian hati di mana setelah kita dijajah, elemen tasawwuf makin pudar dalam diri setiap individu. Sebelum ini, perkataan yang selalu saya dengar adalah tasawwur dan bukan tasawwuf. Maka dengan itu saya berazam untuk lebih mendalami ilmu tasawwuf dan mengetahui apa sebenarnya skop keseluruhan tentang ilmu tasawwuf tersebut untuk menjadi rakyat yang lebih berilmu dan mempraktikkan ajaran Islam dalam setiap aspek kehidupan agar tidak mudah dijajah pada masa akan datang tidak kira dari segi jajahan negara mahupun minda pemikiran setiap individu.

MINGGU 7

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang unsur-unsur tradisi Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu berkaitan bahasa kebangsaan, agama persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak serta pemerintahan beraja. Unsur-unsur tradisi ini boleh menjadikan orang Melayu setanding dengan kaum lain dimana kerajaan membantu hak istimewa orang Melayu supaya mereka tidak ketinggalan atau terpinggir di negara sendiri. Maka dengan itu saya berazam untuk tidak mempersia-siakan keistimewaan yang diberikan sebagai orang Melayu untuk berjaya dalam hidup dunia dan akhirat. Saya akan gunakan sebaik mungkin peluang yang ada untuk menjadi insan yang berguna pada agama, bangsa dan negara.

MINGGU 8

Saya tidak menghadiri kuliah pada hari ini kerana menghadiri Istiadat Konvokesyen di UiTM Dungun, Terengganu.

MINGGU 9

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang cabaran Wawasan 2020 dimana seperti yang kita ketahui lagi 4 tahun menjelang tahun 2020 tetapi masih banyak perkara belum diperbaiki bagi mencapai wawasan tersebut. Maka dengan itu saya berazam untuk menjadi seorang rakyat yang mampu untuk membantu negara mengatasi cabaran yang ada dalam mencapai Wawasan 2020. Sebagai contoh, saya akan mengubah gaya pemikiran minda saya dan orang sekeliling mengikut pemikiran rakyat negara yang maju dari segi zahir dan batin. Hal ini disebabkan oleh, bagi mencapai sebuah negara yang maju, minda pemikiran rakyat juga haruslah maju mengikut arus kemajuan negara tersebut. Saya tidak akan menceburkan diri dalam aktiviti atau perkara yang boleh memburukkan imej negara serta perkara yang boleh menunjukkan tahap pemikiran seorang rakyat yang rendah IQ.

MINGGU 10

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang sejarah Rukun Negara digubal dimana Rukun Negara digubal berasaskan peristiwa pahit pada 13 Mei 1969 dan bertujuan untuk menyemai semangat perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia. Maka dengan itu saya berazam untuk mematuhi semua prinsip Rukun Negara bagi mengelakkan peristiwa tersebut berulang dan juga demi menjamin keamanan dan perpaduan rakyat di Malaysia.

MINGGU 11

Pada hari ini saya telah mempelajari tentang sifat al-Mahabbah yang membawa maksud kasih atau penyayang. Sifat ini amat penting bagi memupuk dan mengeratkan hubungan mesra antara manusia sekaligus dapat menghapuskan rasa benci yang boleh menimbulkan permusuhan antara individu. Perasaan benci dan permusuhan boleh mengakibatkan putus tali sebuah persaudaraan dimana hal ini dilarang oleh Allah S.W.T. Maka dengan itu saya berazam untuk menjaga dan memelihara sifat al-Mahabbah dalam diri saya agar kelak tidak akan timbul rasa kebencian atau wujudnya permusuhan dengan sesiapa sebaliknya sentiasa berusaha untuk menjaga hubungan saudara sesama Islam mahupun masyarakat sekeliling.

WAFIN NAZIRAH BT. MOHD FADZIL

MINGGU 3

Hari ini saya mempelajari tentang Perjanjian Asali di mana semua manusia sebenarnya telah pun mengiyakan bahawa Allah SWT itu tuhan yang satu. Selain itu, saya baru tahu tentang tulang koksiks kita tidak akan hancur dan dari situ boleh mencipta semula jasad kita. Saya berazam untuk lebih banyak mengambil tahu tentang hubungan antara sains dan Islam.

MINGGU 4

Hari ini saya memahami elemen-elemen positif mengenai kemasyarakatan dengan lebih jelas dan juga mendapat pencerahan tentang tafsiran ayat 6 & 7 Surah Al Hujarot. Saya berazam untuk lebih banyak mencari maklumat tentang ayat yang akan dibincangkan di dalam kelas supaya dapat memudahkan lagi proses perbincangan tafsiran ayat.

MINGGU 5

Hari ini saya mempelajari tentang sejarah Tanah Melayu dengan lebih mendalam serta mengatahu tentang teori bahawa Melayu mungkin ada hubungan dengan Nabi Ibrahim. Saya berazam untuk mengkaji teori ini untuk mengetahui sejauh mana kebenarannya dan agar dapat memberi pandangan sendiri mengenai teori ini.

MINGGU 6

Hari ini saya mempelajari bahawa sekiranya Rasulullah SWT muncul di dalam mimpi, maka mimpi itu bukanlah mainan syaitan kerana syaitan tidak mampu untuk menyerupai baginda. Info ini saya dapati daripada kisah Raja Pasai – Mimpi Bukan Sedar Mimpi, Mimpi Bertemu Nabi. Saya juga mendapat tahu tentang kisah Lina Joy yang telah membuka topic perbincangan  di mana Malaysia sebenarnya tiada hukuman yang jelas untuk kesalahan murtad. Saya berazam untuk meningkatkan lagi pengetahuan isu semasa mengenai agama Islam juga dan bukan sahaja hal duniawi.

MINGGU 7

Hari ini saya mempelajari tentang perlembagaan Malaysia dan bagaimana ia menjaga serta menlindungi Islam, Melayu, Bumiputera dan Raja-raja Melayu. Saya juga mempelajari bahawa perlembagaan yang lengkap dalam Islam mestilah merangkumi lima maqasid syariah. Saya berazam untuk mencari lebih banyak info tentang Piagam Atlantik dan juga info yang berkaitan dengan topic perbincangan hari ini.

MINGGU 8

Saya mempelajari tentang isu murtad serta hudud. Tujuan hudud adalah untuk menjaga keamanan. Hudud juga bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana syaratnya ketat dan berat. Contohnya, untuk kesalahan berzina, diperlukan empat saksi yang melihat perlakuan tersebut barulah hukuman dapat dijalankan. Sekiranya syarat tidak dapat dicapai, maka hukuman hudud tidak akan dijatuhkan. Saya berazam untuk mengajar diri saya tentang apa yang boleh saya lakukan untuk berjasa kepada negara dan keaman.

MINGGU 10

Pada minggu ini saya tidak menghadiri kuliah kerana menghadiri Istiadat Konvokesyen ke -85 di UiTM Seri Iskandar.

MINGGU 11

Hari ini saya mempelajari tentang Al-Huriyyah iaitu kebebasan diri dan juga kebebasan suara selagi tidak bercanggah dengan Islam. Apa yang saya fahami adalah, walaupun ada sesetengah orang akan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan Islam, tetapi itu tidak bermaksud kita juga berhak bersuara sesuka hati sahaja. Saya berazam untuk menjadi lebih terbuka dan mengelak daripada menjadi sebahagian daripada pengguna internet yang menggunakan dasar kebebasan bersuara untuk memburukkan ataupun memalukan seseorang yang salah di internet dengan alasan kononnya mahu 'nasihat' kerana itu adalah memalukan dan akan memburukkan Islam di mata orang.

NOOR FATHIN NADIA BT. SENAN

MINGGU 3

Pada hari ini saya telah pelajari mengenai betapa setiap manusia itu sama di sisi Allah s.w.t. walaupun pada pandangan mata manusia, manusia itu saling berbeza dari segi agama, kepercayaan, paras rupa dan darjat. Maka saya berazam untuk memperbetul persepsi dan pemikiran serta pandangan saya terhadap manusia yang berlainan agama serta bangsa dan tidak menilai atau menghbukum mereka dengan cepat.

MINGGU 4

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai Surah Al-Hujuraat ayat 6 dan 7. Di dalamnya terkandung beberapa pengajaran antaranya termasuklah jika kita mendapat atau menerima sesuatu berita itu, maka berita itu haruslah diselidik terlebih dahulu, disahkan kesahihannya dengan mencari bukti ataupun dalil yang benar sebelum kita menyebarkannya kepada orang lain. Selain itu, Allah s.w.t. juga telah memberi pesanan bahawa sekiranya kita selaku umatnya berdegil untuk melanggar perintah Allah serta perkara yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. nescaya kita akan mendapat susah di pengakhirannya serta menyesalinya kelak. Maka dengan ini saya telah berazam bahawa saya tidak akan mudah mempercayai berita atau khabar angin yang disampaikan kepada saya, tambahan lagi berita yang bersifat negatif serta mempunya kebolehan untuk menjatuhkan pihak lain. Malah sebaliknya, berita yang berunsur negatif akan saya simpan sahaja.

MINGGU 5

Pada hari ini saya telah pelajari bahawa budaya masyarakat Arab itu tidaklah semuanya buruk belaka seperti yang saya gambarkan. Seperti contoh, saya sering mempunyai tanggapan bahawa orang Arab rata-ratanya sombong dan kasar tutur bahasa serta peri laku mereka. Walaubagaimanapun, dengan pelajaran hari ini saya dapati bahawa orang Arab sangat menepati waktu dan merek menerapkan budaya memuliakan tetamu, seperti yang dituntut ajaran Islam. Oleh itu, selepas ini saya akan cuba untuk menerima tetamu yang hadir ke rumah saya terutamanya rakan-rakan sekerja ibu bapa saya dengan hati yang terbuka. Ini kerana saya sering mengeluh dengan kehadiran mereka kerana memikirkan bahawa mereka telah mengambil masa rehat hujung minggu saya dan itu semestinya perkara yang saya tidak akan ulangi.

MINGGU 6

Pada hari ini saya telah memndapat kesedaran bahawa negara kita Malaysia telah dijajah selama lebih 400 tahun, pada pandangan saya ianya amat mustahil untuk mendapat kemerdekaan dengan tempoh jajahan yang terlalu lama serta nilai kepimpinan rakyat yang tidak berapa kukuh pada waktu itu. Sudah semestinya para pejuang dan pemimpin tanah air telah bersusah payah mendapatkan kemerdekaan negara yang kekal merdeka hingga kini. Oleh itu, selepas ini saya akan lebih menghargai negara saya sendiri dan lebih mandalami berkenaan sejarah Malaysia supaya saya lebih peka dan lebih menghargai keamanan dan kesenangan yang saya nikmati selama ini.

MINGGU 7

Pada hari ini saya telah mempelajari berkenaan Malayan Union, iaitu betapa pentingnya peristiwa Malayan Union untuk kita ingati agar dapat membangkitkan semula semangat kemelayuan dan semangat antara kaum yang wujud di Malaysia. Saya dapat lihat bahawa betapa bersungguhnya orang Melayu menentang Malayan Union daripada dikuatkuasakan oleh pihak British pada waktu itu. Peristiwa itu juga menjadi bukti bahawa tiada yang mustahil bagi orang Melayu jika kita bersatu. Oleh itu saya berazam agar lebih menghargai bangsa saya sendiri kerana banyak lagi keistimewaan Melayu yang saya mahu ketahui.

MINGGU 8

Pada hari ini saya telah pelajari mengenai hukum hudud. Hukum hudud yang selama ini saya bayangkan hanyalah sekadar hukum memotong tangan bagi si pencuri, rupanya lebih daripada itu dan lebih lagi perinciannya seperti jenis-jenis hukuman berbeza bagi kesalahan berbeza. Setiap kesalahan pula haruslah diteliti dengan betul agar memastikan tertuduh benar-benar bersalah ataupun tertuduh mempunyai alasan dan sebab yang kukuh atas perbuatan salahnya itu. Dari situ saya pelajari bahawa Islam ini merupakan agama yang lengkap dan adil. Islam bukan sahaja terikat dengan semata-mata bertaqwa kepada Allah, tetapi merangkumi aspek kehidupan manusia serta cara hidup manusia. Oleh itu, saya berazam untuk lebih mendalami ajaran Islam dengan mempelajari cara hidup Islam yang sebenar agar saya sentiasa peka terhadap perkara remeh yang sebenarnya tidak boleh diambil mudah dalam Islam.

MINGGU 9

Pada hari ini saya telah mempelajari mengenai institusi kesultanan di Malaysia. Selama ini saya berfikiran bahawa institusi kesultanan, peranan sebagai seorang sultan di sesebuah negeri serta peranan Yang di-Pertuan Agong adalah amat kecil di Malaysia. Akan tetapi, setelah mendalami sedikit mengenai perkara ini sewaktu kelas, saya mempelajari bahawa peranan sultan itu adalah sebagai bayangan Tuhan di muka bumi dari sudut pandangan Islam. Konsep ini bukan sahaja digunapakai atau diadaptasi dari pengaruh Hindu tetapi Islam juga mempercayainya. Jadi dengan adanya raja atau sultan di sesebuah negeri itu, maka hak-hak rakyat yang sepatutnya akan terjaga, malah sultan berperanan dalam memartabatkan dan menjaga agama Islam serta orang Melayu. Maka dengan ini, saya berazam untuk menjadi bangsa yang tahu menghargai kewujudan institusi kesultanan ini serta menghormatinya kerana saya tahu betapa besarnya peranan sebagai seorang sultan demi menjaga kesejahteraan rakyatnya.

MINGGU 10

Pada minggu ini saya tidak menghadiri kuliah kerana menghadiri Istiadat Konvokesyen ke -85 di UiTM Seri Iskandar.

MINGGU 11


Pada hari ini saya telah pelajari sesuatu yang telah saya ketahui selama ini, tetapi lebih mendalam, iaitu betapa agama Islam sungguh istimewa dan bersifat terbuka. Agama Islam tidak memaksa seseorang itu untuk memeluk Islam malah Islam mengajak mereka untuk memeluk Islam dengan memaparkan cara hidup Islam yang sempurna. Walaupun agama Islam fleksibel dan mudah untuk diamalkan, tetapi ia tidak pernah tersasar jauh dari ajaran yang sebenarnya. Dengan ini, saya patut menjadi seorang yang bangga kerana dilahirkan beragama Islam. Saya hanya perlu memelihara agama ini dan menjalani hidup seperti yang disuruh oleh Islam.

No comments:

Post a Comment